Mommy Diaries Off Air

Beranak di Hospital KERAJAAN vs SWASTA

August 12, 2018

Tiada kurangnya seseorang Ibu beranak di hospital kerajaan jika dibandingkan dengan hospital swasta.

Bagaimanapun, ramai yang hebat berdebat tentang perbezaan kedua-dua institusi ini.

Saya pun dah termasuk dalam golongan tersebut, dengan terbitnya penulisan ini. 😉

Tempat yang terbaik adalah berlandaskan pilihan dan kecenderungan seseorang individu — apakah yang mereka mahu?

Selama pengalaman saya melahirkan dua orang cahaya mata, saya telah memilih hospital swasta. Nukilan ini ditulis berdasarkan pengalaman saya di sana, disertakan maklumat daripada adik saya yang merupakan seorang doktor dan pernah bekerja di hospital kerajaan.

(a) W A K T U  M E N U N G G U

*Hospital Kerajaan*
Hospital kerajaan dibina untuk kegunaan rakyat umum, terutamanya buat mereka yang kurang berkemampuan dan/atau yang memerlukan kepakaran tertentu.

Jadi, tidak hairanlah jika tempoh masa menunggu di hospital kerajaan adalah lama kerana perlu menunggu giliran.

Nak jumpa doktor kena tunggu lama.
Nak masuk wad kena tunggu lama.
Nak dapatkan ubat di kaunter pun kena tunggu lama.

Semuanya lama.

But for good reason.

TAHUKAH ANDA? — Hospital Kuala Lumpur (HKL) – yang merupakan ‘go-to’ hospital di Malaysia – mempunyai polisi yang melarang mereka menafikan perkhidmatan kesihatan kepada sesiapa.

Ungkapan seperti “Maaf, hospital kami sudah penuh” tidak wujud dalam kamus mereka.

Disebabkan itu, kita sering lihat atau dengari keadaan di hospital dimana jumlah pesakit melimpah-limpah sehingga tiada cukup fasiliti seperti katil. Ada yang terpaksa berkampung di koridor hospital, dengan katil sementara.

Saya ingat lagi rutin adik saya. Jam 6 pagi sudah terpacak di hospital untuk membuat rounds di wad. Mereka bukan seperti kebanyakan orang bekerja yang perlu masuk pejabat pukul 8 pagi. Ini belum lagi on-call. Nak selit sedikit masa untuk makan dan berborak pun sangat sukar. Apatah lagi masa untuk berehat.

Bukan mudah bekerja di hospital. Berterima kasihlah kepada mereka yang bekerja keras memberi layanan dan rawatan kepada anda, ibu/ayah anda, adik-beradik dan saudara anda.

*Hospital Swasta*
Terkejut tak kalau saya mengatakan waktu menunggu di hospital swasta juga memakan masa yang lama?

Waktu pendaftaran sememangnya laju tetapi waktu menunggu untuk berjumpa doktor boleh sampai berjam-jam.

Lebih-lebih lagi di Klinik Wanita & Kanak-kanak.

Waktu bersalin adalah tidak menentu. Bila-bila masa sahaja seseroang doktor sakit puan itu boleh dipanggil ke bilik bersalin. Kita tak boleh beritahu baby, “Tunggu sekejap! Doktor nak jumpa pesakit lain dulu.” The baby will wait for no one.

Seharusnya, doktor-doktor ini perlu beri keutamaan kepada pesakit yang mahu beranak. Ini akan seterusnya menyebabkan sesi konsultasi dengan pesakit lain tergendala.

Kadang-kala doktor juga perlu memberi keutamaan kepada bayi dan kanak-kanak yang sakit yang datang ke hospital bukan untuk check-up berjadual, tetapi mempunyai ‘kecemasan’. Kami yang tidak mempunyai urgency, perlulah beri laluan.

Jadi, terpaksa lah tunggu.

Jangan pula kita naik angin.

Jika keadaan tidak memudaratkan, kita perlu bersabar tanpa mengeruhkan lagi keadaan dengan memaki-hamun staf hospital, umpamanya.

Saya sendiri pernah melihat perkara ini berlaku.

“Macam tunggu di KKM!” keluh Encik M kuat-kuat, yang menemani isterinya yang baru bersalin dan mahu berjumpa pakar kanak-kanak.

(Saya agak, ini merupakan check-up pertama dengan pakar kanak-kanak untuk baby mereka. Di hospital swasta, check-up pertama ini adalah seminggu selepas melahirkan anak. )

Encik M turut menuduh jururawat yang bertugas membenarkan pesakit lain potong queue walaupun belum tiba giliran mereka.

“Cukup-cukup lah tu,” bisik isteri kepada suaminya, yang sebenarnya kelihatan seperti sudah masak dengan perlakuan pasangannya.

Keutamaan yang diberikan kepada pesakit-pesakit tertentu bukan berlaku tanpa sebab.

Jururawat itu menerangkan kepada Encik M dengan begitu tenang sekali, bahawa terdapat pesakit (iaitu bayi dan kanak-kanak) yang sakit dan perlukan perhatian doktor segera. Selain itu, kebetulan pada hari tersebut, banyak baby yang perlu diambil darah mereka.

Memang bukan salah jururawat atau doktor.

Encik M, bersabar lah. Ruangan menunggu di hospital swasta ini selesa. Siap ada playground untuk anak-anak (walaupun pada hari tersebut, tutup pulak playground).

Mereka yang merangkumi kakitangan pentadbiran, jururawat dan doktor sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik. Kita perlu memahami bahawa pekerjaan mereka tidak mudah. Mereka bukan sahaja berjumpa dengan pesakit setiap hari, malah paperwork tetap ada. Selain itu, mereka juga melakukan pembedahan dan sebagainya.

Disebabkan itulah, kadangkala kita perhatikan kepenatan dan tekanan memenuhi riak wajah mereka.

(b) M E M I L I H  D O K T O R

*Hospital Kerajaan*
Sebagai pesakit yang telah membuka buku merah di hospital kerajaan, kita tidak mempunyai opsyen untuk memilih doktor kesukaan kita.

Bilangan pesakit terlalu ramai dan tiada sistem yang membolehkan kita berbuat demikian. Rawatan dan konsultasi adalah bergantung pada doktor yang bertugas pada hari kita berada di hospital. Doktor yang akan sambut anak kita kelak pun tidak dapat kita kenalpasti terlebih dahulu.

Tetapi, di sesetengah hospital kerajaan yang bercampur elemen penswastaan ada menawarkan ciri ini, diiringi kos yang lain pula.

*Hospital Swasta*
Anda boleh membuat permintaan untuk mendaftarkan diri dengan doktor pilihan di hospital tersebut. Bagaimanapun, ada juga doktor yang terpaksa menolak pesakit kerana “kuota” sudah dipenuhi. Maklumlah, seseorang doktor mahu memberikan perhatian yang sebaiknya kepada pesakit-pesakit sedia ada.

Ini merupakan faktor utama mengapa saya memilih untuk beranak di hospital swasta.

Oleh kerana anda berjumpa dengan doktor yang sama dari peringkat awal kehamilan sehingga hari bersalin, anda dapat menjalin hubungan rapat atau rapport dengan seseorang doktor.

Untuk kehamilan saya yang kedua, saya memilih doktor yang sama seperti sebelumnya. Beliau memang terkenal dikalangan ibu-ibu, disebabkan banyak faktor. Sememangnya beliau mempunyai kepakaran yang baik dalam bidang sakit puan tetapi beliau juga peramah, suka berborak, suka bertanyakan khabar dan kelakar orangnya walaupun ada ciri-ciri garang.  Saya rasa selesa dengannya dan boleh bertanya apa-apa persoalan yang terbuku di hati. Disebabkan inilah saya rasa seronok tiap kali ke hospital untuk berjumpa dengannya.

Yang pastinya juga, beliau adalah doktor yang bakal menyambut anak pada hari bersalin.

Selain itu, beliau juga akan melaksanakan jahitan episiotomi. Kita dapat jangkakan jahitan yang dibuat adalah kemas dan baik, kerana dilakukan oleh seorang pakar.

Berbeza pula di hospital kerajaan, dimana jahitan ini selalunya dilaksanakan oleh doktor pelatih (houseman) kerana doktor pakar terlalu sibuk. Bukannya bahaya, tetapi mungkin kekemasannya agak berbeza kerana seseorang doktor pelatih belum cukup pengalaman. Sekurang-kurangnya, situasi sebegini membuka ruangan untuk para doktor pelatih mengasah kemahiran.

(c) K O S  P E R U B A T A N

*Hospital Kerajaan*
Seperti yang diketahui, bil di hospital kerajaan tidak akan melambung tinggi kerana disubsidi. Kadang-kala, tak percaya juga amaun yang perlu dibayar jika difikirkan dengan khidmat pakar dan perubatan yang diperoleh, kerana sangat memuaskan. Ini lah salah satu kelebihan mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, tanpa dikompromi kualiti perkhidmatan yang diberi.

Jika dibuat perbandingan pendapatan, tidak dapat dinafikan gaji yang diperoleh seorang doktor di hospital kerajaan adalah lebih rendah daripada seorang doktor yang berkhidmat di hospital swasta. Walhal, mereka yang bekerja di hospital kerajaan mungkin lebih sibuk kerana bilangan pesakit yang lebih tinggi.

Pekerjaan sebagai seorang doktor dan juga jururawat adalah sangat mulia – tidak semua orang boleh melakukannya kerana tidak semua orang sanggup to get their hands dirty.

Bersyukurlah dengan khidmat mereka! Saya cukup marah bila ada berita yang viral di media sosial yang menceritakan ‘keburukan’ tenaga kerja hospital yang kononnya tidak mengendahkan pesakit, memberi layanan tidak baik atau tidak cukup pantas memberikan perkhidmatan — kerana kadangkala ini berputik daripada sikap manusia yang kurang sabar atau kurang memahami sistem yang dijalankan.

Cuba anda bekerja secara on-call, baru tahu.

*Hospital Swasta*
Hospital-hospital swasta di Malaysia boleh dihimpun dalam beberapa kategori. Ada yang mahal, sederhana mahal dan sangat mahal. Di hospital saya umpamanya, harga minimum untuk bersalin secara normal tanpa mengambil apa-apa ubat tahan sakit dan duduk di bilik biasa adalah RM9,000.

Rawatan yang diberi mungkin serupa seperti yang diberi di hospital kerajaan, dan yang membezakannya adalah keselesaan. Di hospital saya umpamanya, semua bilik adalah untuk kegunaan perseorangan. Tetapi, saya juga pernah membaca pengalaman wanita-wanita lain yang mengatakan wad kelas pertama di hospital kerajaan amat baik keadaannya.

Hospital swasta mungkin juga menawarkan ubat-ubatan yang lebih mahal.

TAHUKAH ANDA? — Terdapat hospital kerajaan yang tidak menawarkan ubat penahan sakit epidural kerana terlalu mahal. Jika ubat ini merupakan suatu ‘keperluan’ buat sesetengah wanita, mereka yang bersalin secara normal di hospital kerajaan tertentu tidak mempunayi pilihan ini. Tak silap saya, bayaran untuk satu kali penggunaan epidural hampir mencecah RM1,000.

(d) B I L I K  &  M A K A N A N

Mengikut pengalaman saya di hospital swasta, walaupun tidak terlepas daripada wear and tear, bilik pre-bersalin, bilik bersalin dan bilik wad cukup selesa. Kesemuanya dilengkapi televisyen dan katil yang sangat empuk cadar dan bantalnya. Hehe. Dekorasi bilik juga cantik, terutamanya bilik suite. Berani saya katakan suasananya umpama hotel 4 bintang.

Di hospital saya, kadar harga bilik biasa adalah RM200/malam dan kesemuanya adalah perseorangan. Bilik suite pula terbahagi kepada dua jenis iaitu Junior Suite dan VIP Suite yang masing-masing mencecah harga RM600/semalam dan RM1,200/malam. Kedua-dua bilik suite ini mempunyai ruang tamu yang kecil dan menawarkan tahap privasi lebih tinggi buat pesakit. Bukan itu sahaja, bilik VIP Suite mempunyai bilik kecil di dalamnya beserta bilik air tambahan.

Makanan yang dihidangkan mungkin juga berbeza. Semestinya, semua makanan hospital adalah sihat. bernutrisi dan merangkumi diet yang seimbang. Cumanya, pilihan makanan yang terpapar dalam menu di hospital swasta mungkin lebih banyak dan mengandungi bahan-bahan lebih mahal.

Contoh makanan yang disediakan pihak hospital swasta:
(makanan yang telah saya pilih ketika di hospital selepas melahirkan anak)

(e) P E M E R I K S A A N  S U S U L A N

*Hospital Kerajaan*
Dalam masa beberapa hari selepas melahirkan anak, seorang jururawat hospital akan ditugaskan untuk membuat pemeriksaan dan lawatan susulan di rumah. Memandangkan si Ibu kini dalam tempoh berpantang, jururawat akan membuat house call. Jururawat akan memeriksa keadaan pemulihan si Ibu dan kesihatan anak, jika terdapat tanda-tanda demam kuning umpamanya. Jururawat juga akan bertanyakan hal-hal berkaitan penyusuan anak.

*Hospital Swasta*
Setakat pengetahuan saya, secara umumnya hospital swasta tidak menawarkan khidmat house call ini, kecuali satu dua. Walau bagaimanapun, polisi mereka sudah berubah. Semasa kelahiran anak saya yang kedua, saya diberi borang yang perlu diisi untuk diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). KKM seterusnya akan menghantar seorang jururawat ke rumah untuk pemeriksaan susulan. Tetapi, mungkin disebabkan sistem ini baru diperkenalkan dan saya juga tiada menghubungi pihak KKM, saya tidak dikunjungi seorang jururawat. Lagipun, dalam tempoh seminggu selepas melahirkan anak, saya sudahpun ke hospital untuk sesi follow-up pertama dengan pediatrician.

(f) V A K S I N A S I 

*Hospital Kerajaan*
Vaksinasi untuk bayi dan kanak-kanak diberikan di Klinik Kesihatan (KK) dan bukannya di hospital.

Jenis Vaksin: Wajib
Kos: Percuma
Diberi Oleh: Jururawat

*Hospital Swasta*
Vaksinasi untuk bayi dan kanak-kanak ditawarkan di hospital dan klinik swasta.

Jenis Vaksin: Wajib & Optional
Kos: Perlu Dibayar
Diberi Oleh: Doktor Kanak-kanak (Pediatrician)

Kadang-kala, bil konsultasi melambung tinggi jika ia disertakan dengan vaksinasi, terutamanya yang melibatkan ubat yang mahal seperti vaksin pneumococcal yang mencecah RM300+ untuk satu suntikan sahaja. (Anak memerlukan lebih daripada satu suntikan mengikut jadual vaksinasi.) Selalunya dalam satu perjumpaan sahaja bersama doktor, terdapat dua atau tiga jenis vaksinasi yang diberi. Jadi, boleh bayangkan berapa jumlah bil. Oleh kerana mahukan kesihatan dan keselesaan anak dipelihara, ini tidak dilihat sebagai suatu bebanan tetapi lebih kepada keperluan.


Kesimpulan
Yang terbaik adalah yang terbaik untuk diri anda mengikut kemahuan, kesesuaian dan kemampuan — tidak kira hospital kerajaan atau swasta. Pada saya, kelebihan hospital swasta terletak pada keselesaan yang diberi. Walau apapun keadaan dan di mana jua, pastikan anda berada dalam jagaan terbaik yang sentiasa memelihara kepentingan anda.

You Might Also Like